LONDON – Barcelona dilaporkan akan menawarkan kontrak baharu kepada Ousmane Dembele selepas dia mempamerkan aksi cemerlang pada musim ini.
Pemain antarabangsa Perancis itu sebelum ini telah mengharungi karier yang sukar sejak melengkapkan perpindahan £108 juta dari Borussia Dortmund pada 2017.
Disebabkan prestasi yang tidak bagus, masalah disiplin dan kecederaan yang berpanjangan, karier pemain berusia 23 tahun itu di Barcelona dilihat akan berakhir.
Apatah lagi dia hanya mampu membuat lima penampilan bersama pasukan senior pada musim lalu.
Barcelona hampir melepaskannya Dembele kepada Manchester United pada musim lepas namun kelab itu belum bersedia menanggung risiko di atas kekerapan kecederaan yang sering menimpa pemain tersebut.
Tetapi pada musim ini, pengurus Ronald Koeman dilihat berjaya mengubah segala-galanya.
Karier Dembele kembali menyinar selepas dia berjaya menjaringkan lapan gol dalam 30 penampilan pada musim ini.
Itu pun, ada sumber mengatakan, Barcelona dalam dilema untuk menawarkan kontrak baru kepada Dembele yang akan menamatkan kontraknya pada 2022.
Jika tiada tawaran baru di berikan, Barcelona perlu menjualnya untuk mengelakkan Dembele dilepaskan secara percuma. – MalaysiaGazette




