Marquez beri isyarat makin pulih

Marquez beri isyarat makin pulih

Madrid: Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez memberi bayangan dia semakin hampir kembali ke MotoGP selepas menunggang motosikal kali pertama sejak Grand Prix Andalusia pada Julai tahun lalu.

Juara dunia lapan kali itu menunggang mini bike kelmarin selepas mendapat kelulusan doktor.

Minggu lalu, pelumba Sepanyol itu memberi isyarat mengenai hasratnya berlumba di Qatar pada 28 Mac ini dan mungkin dapat direalisasikan selepas akhirnya dapat menunggang semula motosikal.

Dalam Instagramnya, Marquez berkata: “Selepas lapan bulan dan selepas mendapat kelulusan doktor pada pemeriksaan terakhir, saya akhirnya dapat merasakan semula perasaan ini walaupun ia hanya sebuah moto mini!”

Marquez mengalami patah tangan kanan pada 19 Julai lalu selepas terjatuh ketika menyertai Grand Prix pertama musim 2020 dan memerlukan tiga pembedahan dan yang terakhir pada Disember lalu.

“Kecederaan saya semakin sembuh dengan baik,” kata Marquez.

Dia kembali berlatih pada awal Februari lalu dan positif terhadap proses pemulihannya tetapi tidak menetapkan bila akan kembali berlumba.

“Saya ikut badan saya,” katanya yang akan beraksi bersama rakan senegara, Pol Espargaro yang berpindah dari KTM. ”Sekarang ini saya cuba untuk kembali berlumba di Qatar.”

Scroll to Top