Maqis rampas 160kg telur sotong katak sejuk beku

Maqis rampas 160kg telur sotong katak sejuk beku

Lumut: Jabatan Perkhidmatan Kuaran Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa masuk 160 kilogram (kg) telur sotong katak sejuk beku dari Indonesia di pintu masuk Maqis Pelabuhan Lumut, di sini, semalam.

Telur sotong katak yang dianggarkan bernilai RM4,800 itu ditemui dalam 20 kotak hasil pemeriksaan dua tong ikan di lokasi berkenaan.

Pengarah Maqis Perak Rozita Superman berkata, telur sotong katak sejuk beku itu ditemui dalam tong ikan berkenaan dan tidak mempunyai permit import yang sah dikeluarkan Maqis.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import dikeluarkan Maqis adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali mengikut Seksyen 11(3) Akta sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, Maqis sentiasa komited dalam menjalankan tugas di pintu masuk negara bagi memastikan sebarang kemasukan produk pertanian, perikanan dan haiwan sentiasa dipatuhi bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Scroll to Top