Johan Ghazali menang kontrak ONE Championship bernilai RM472,749

Johan Ghazali menang kontrak ONE Championship bernilai RM472,749

KUALA LUMPUR – Petinju muda muaythai negara, Johan Ghazali melakar sejarah apabila berjaya mendapatkan kontrak daripada ONE Championship bernilai AS$100,000 (RM472,749).

Kejayaan diraih atlet berusia 16 tahun itu selepas menundukkan lawannya dari Rusia, Temirlan Bekmurzaev dalam ONE Friday Fights 36, semalam.

Dalam pertarungan sengit itu, Johan atau dikenali JoJo Ghazali berjaya melepaskan tumbukan bawah ke arah dada Bekmurzaev.

Dia memenangi perlawanan tersebut secara knock out pada pusingan kedua. Lebih menarik, Johan turut membawa pulang hadiah kemenangan bernilai 350,000 Baht (RM44,544).

Mengulas mengenai kontrak yang berjaya dimilikinya, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya itu.

”Ini gila, saya akan memasuki usia 17 tahun pada bulan hadapan. Saya mendapat kontrak ONE Championship sebelum saya memiliki lesen memandu, jadi ini sangat gila,” katanya selepas perlawanan berakhir.

Dengan kejayaan itu, Johan menjadi atlet petarung termuda yang berjaya mendapatkan kontrak ONE Championship.

Menurut laman web ONE Championship, Johan merupakan petinju Muaythai Malaysia/Amerika yang mewakili kelab Rentap Muaythai Gym.

Dia mempunyai darah campuran melalui ayahnya, warga Malaysia dan ibunya yang berasal dari Amerika Syarikat.

Johan dilahirkan di Malaysia dan menghabiskan usia muda dan bersekolah di Sarawak.

Dia memiliki rekod bersih kemenangan 4-0 sepanjang kariernya bersama kejohanan tersebut.

Selain Bekmurzaev, lawan lain yang pernah ditewaskannya sebelum ini adalah Samurai Seopal , Tai Sor Jor Piek Uthai dan Padetsuk Fairtex. Ketiga-tiga mereka berasal dari Thailand. – MalaysiaGazerre

Scroll to Top