zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Penang FC gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan pasukan tercorot Liga Super, UiTM di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Penang kini mengumpul lima mata selepas empat perlawanan musim ini dan menghuni tangga keempat.
Bagi UiTM pula, satu mata di gelanggang lawan pasti melegakan pengendalinya, Frank Bernhardt selepas gagal mengutip sebarang mata dalam tiga perlawanan awal sebelum ini.
Walaupun perlawanan berlangsung rancak, tidak banyak percubaan berbahaya dan menarik berjaya dilakukan kedua-dua pasukan.
Peluang terbaik Penang hadir pada minit ke-79, namun gagal dimanfaatkan Casagrande apabila sepakannya di dalam kotak penalti melepasi palang.
Penyerang kelahiran Brazil itu sekali lagi melepaskan peluang untuk memberikan tiga mata berharga buat Penang apabila sepakan lambungnya tidak menepati sasaran pada masa kecederaan, walaupun penjaga gol UiTM, Azfar Arif Sukri sudah tertewas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




