KUALA LUMpUR – Syarikat-syarikat swasta disaran agar terus mengadakan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan supaya kepakaran yang dimiliki mereka dapat digarap di dalam pembelajaran demi masa depan generasi muda.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Muhammad Agus Yusoff berkata, institusi pendidikan tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya memerlukan sokongan daripada pihak swasta yang boleh membantu memacu dalam pendidikan.
“Kita perlu sekali bergabung… universiti, mana-mana badan sekalipun tak boleh berdiri sendiri.
“Kita perlu bergabung antara agensi antara kerajaan dan juga swasta antara syarikat-syarikat yang terlibat dalam apa yang dibuat.
“…dengan cara ini barulah kita boleh bentuk kerjasama strategik, kalau kita bersendirian kita tak boleh pergi lebih jauh. Kalau kita nak terbang tinggi kita mesti bergabung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas merasmikan Ekspo Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)-InTeLeX bersempena Bulan Akademia 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Naib Canselor, UPNM, Lt. Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Sementara itu, Mardzuki ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, beliau sangat berbesar hati agar usaha mencipta platform dengan swasta bagi mempromosikan pertukaran ilmu pengetahuan dapat membawa bersama para pemikir, pengajar dan pelajar untuk berdiskusi, membuka kotak minda, memacu daya imaginasi dan seterusnya mendorong kepada inovasi dan kreativiti dalam mendepani era pendigitalan pengajaran serta pembelajaran.
Ujarnya, dalam era teknologi baru, milenium ini adalah satu kelebihan dalam universiti untuk mengadapatasikan perubahan dalam gaya pengajaran pelajar UPNM.
“Saya berasa sangat kagum dengan penyertaan dan juga komitmen yang diberikan oleh para pensyarah dan akademia UPNM selain daripada pelajar UPNM untuk menyesuaikan diri dengan teknologi baharu untuk meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pemindahan pengetahuan supaya proses PdP (pengarajaran dan pembelajaran) dalam universiti boleh berjalan dengan lebih efektif dan efisien kini dan masa hadapan.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah dan berkembang pesat ini adalah satu keupayaan bagi sesebuah universiti untuk beradaptasi dan mengambil peluang terhadap daya saing yang diperlukan kepada universiti,” katanya.
Terdahulu, Pusat Pengajaran dan Pembelajaran UPNM menganjurkan Ekspo Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran sempena Sambutan Bulan Akademia 2023.
Tema yang diangkat iaitu “Memupuk Inovasi Intelek dalam Pengajaran dan Pembelajaran” memberi fokus kepada perkongsian maklumat dan pengetahuan peserta dalam bidang kepakaran masing-masing melalui pertandingan projek berkaitan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran.
Terdapat tiga kategori dibuka kepada semua peserta iaitu Fikiran Masa Depan untuk pelajar sarjana muda, Pitching dalam Penyelidikan Pembelajaran untuk pelajar lepasan ijazah dan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (Innothon) untuk pensyarah. – MalaysiaGazette




