Tiada rakyat Malaysia cedera dalam gempa bumi Herat – Wisma Putra

Tiada rakyat Malaysia cedera dalam gempa bumi Herat – Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan atau menerima kesan secara langsung setakat ini akibat kejadian gempa bumi yang melanda Wilayah Herat, Afghanistan pada 7 Oktober lalu.

Wisma Putra melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India mengesahkan perkara tersebut dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada kerajaan serta rakyat Afghanistan yang terjejas susulan gempa bumi yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan ribuan orang lagi cedera serta kemusnahan harta benda dan infrastruktur awam.

“Rakyat Malaysia menzahirkan solidariti kepada rakyat Afghanistan pada waktu yang sukar ini.

“Ingatan dan doa ikhlas rakyat Malaysia adalah bersama-sama, khususnya kepada mereka yang terkesan dengan bencana ini,” katanya.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menganggarkan lebih 11,000 orang terjejas akibat beberapa siri gempa bumi di wilayah Herat.

Dua gempa bumi paling teruk itu berukuran 6.3 pada skala Richter, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), yang memantau aktiviti gempa bumi di seluruh dunia.

Menurut Wisma Putra, pada masa ini, urusan konsular yang melibatkan rakyat Malaysia di Afghanistan dikendalikan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Jelasnya, rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di alamat 50-M, Satya Marg Chanakyapuri New Delhi 110021.

Mereka juga boleh menghubungi talian telefon +91-11-2415 9300 atau +91-85955 50594 serta faks +91-11-2688 1538 dan menghantar emel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette

Scroll to Top