Petronas kekal penyumbang dividen terbesar kepada kerajaan – PAC

Petronas kekal penyumbang dividen terbesar kepada kerajaan – PAC

KUALA LUMPUR – Petronas kekal menjadi penyumbang dividen terbesar kepada kerajaan iaitu sebanyak RM50 bilion pada tahun lalu berbanding separuh daripada jumlah berkenaan pada tahun sebelumnya.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Shu Qi berkata, selain itu, jumlah keseluruhan dividen pelaburan yang diterima daripada 16 syarikat berkaitan kerajaan dan dua badan berkanun adalah berjumlah RM55.815 bilion, katanya pada sidang media berhubung Laporan Ketua Negara 2022 Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022 dan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Shu Qi berkata, sehingga tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM17.064 bilion untuk bayaran balik pinjaman syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbanding RM1.699 bilion pada tahun 2021.

“Dua bon 1MDB iaitu 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) telah matang dalam tahun 2022 dengan prinsipal kedua-dua bon ini berjumlah USD3.5 bilion atau RM15.524 bilion,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga telah melunaskan faedah pinjaman syarikat tersebut iaitu sebanyak RM1.541 bilion.

Menurut beliau, sehingga tahun lalu, jaminan pinjaman syarikat 1MDB berjumlah RM18.170 bilion.

Ia terdiri daripada bon berjumlah USD3 bilion atau RM13.170 bilion yang perlu dilunaskan pada tahun 2023 dan bon berjumlah RM5 bilion yang akan matang pada tahun 2039.- MalaysiaGazette

 

Scroll to Top