Pencemaran 2020 tinggi walaupun dalam perintah sekatan

Pencemaran 2020 tinggi walaupun dalam perintah sekatan

PARIS: Pencemaran zarah kecil yang berbahaya di empat dari lima negara melepasi tahap dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), biarpun dunia berdepan COVID-19, tahun lalu.

Menurut laporan kualiti IQAir yang dikeluarkan hari ini, penutupan sebahagian atau keseluruhan pengangkutan dan industri selama berbulan-bulan pada tahun lalu mengurangkan tahap purata pencemaran yang dinamakan PM2.5 di seluruh dunia, termasuk di bandar besar.

Kepekatan zarah yang mampu memendekkan jangka hayat, yang disebabkan oleh pencemaran lalu lintas dan pembakaran bahan bakar, turun 11 peratus di Beijing, 13 peratus di Chicago, 15 peratus di New Delhi, 16 peratus di London dan 16 peratus di Seoul.

Sekurang-kurangnya 60 peratus udara bandar di India lebih bersih tahun lalu berbanding 2019 dan 2018.

Penganalisis utama di Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) dan pengarang bersama laporan, Lauri Myllyvirta, berkata banyak bahagian di dunia mengalami peningkatan kualiti udara yang belum pernah terjadi sebelumnya, tetapi dalam jangka pendek iaitu pada 2020.

“Ini bererti puluhan ribu terhindar dari kematian akibat pencemaran udara,” katanya.

Namun, hanya 24 dari 106 negara yang dipantau WHO memenuhi garis panduan keselamatan WHO, berdasarkan pangkalan data terbesar pengukuran pencemaran udara di dunia.

China dan banyak negara Asia Selatan mengalami pencemaran PM2.5 beberapa kali, manakala di beberapa wilayah, kepekatan pencemaran itu berlaku enam hingga lapan kali lebih tinggi.

Sebanyak 22 bandar yang paling tercemar di dunia adalah di India, manakala Bangladesh, Pakistan, India, Mongolia dan Afghanistan rata-rata kepekatan PM2.5 tahunan antara 77 dan 47 mikrogram setiap meter padu (mcg / m3) udara. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top