KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Gimnastik Terengganu (PGNT) dalam mencari jalan penyelesaian berhubung penawaran dibuat kepada atlet gimnastik wanita negeri itu menyertai sukan wushu.
Menternya, Hannah Yeoh berkata, pertemuan itu akan membincangkan solusi terbaik buat atlet terlibat susulan kerajaan negeri kekal dengan pendirian melarang penyertaan mereka dalam sukan gimnastik pada mana-mana kejohanan termasuk temasya Sukan Malaysia (Sukma).
“Saya telah menghubungi Presiden PGNT, Abdul Razak Mat Amin untuk kita tengok bantuan apa yang boleh diberikan bagi menyelesaikan masalah ini menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).
“Hasrat kami ialah supaya anak-anak muda yang mahu terlibat dalam apa jenis sukan pun, kod pemakaian tidak seharusnya jadi penghalang untuk meneruskan impian dalam menceburi sesuatu sukan,” katanya.



