Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk terus menjunjung, memperkasa serta mengukuhkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam setiap aspek pentadbiran dan pengurusan.
Menterjemahkan komitmen kementerian itu yang terus proaktif dalam memupuk semangat cintakan bahasa, pelbagai aktiviti bahasa dan kesusasteraan di seluruh negara telah diadakan menerusi Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan.
Kemuncak Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan ditutup dengan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan Tahun 2023 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, di sini Selalu lalu, dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan adalah satu langkah proaktif KPM dalam menjenamakan semula Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).
Komitmen berterusan KPM
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, sambutan itu adalah komitmen berterusan kementerian itu bagi memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam setiap program atau aktiviti dalam sektor pendidikan.

Katanya, melalui inisiatif tahunan itu, semua warga kerja bahagian dan agensi di bawah KPM dilibatkan, sekali gus menekankan kepentingan membudayakan penggunaan bahasa yang betul serta memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
“Pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan dilaksanakan di seluruh negara khususnya sektor pendidikan yang terdiri daripada KPM, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bagi memperkasa dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
“Program tahunan ini juga bertujuan untuk menunjukkan komitmen berterusan KPM dalam usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam setiap program yang dilaksanakan, selain menekankan kepentingan membudayakan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul agar keindahan bahasa kebangsaan terus terpamer,” kata kenyataan itu.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan, Pertandingan Pengucapan Awam Peringkat KPM, Forum Bahasa Melayu Sektor Pendidikan, Bengkel Pemerkasaan Tulisan Jawi peringkat KPM dan pelbagai aktiviti lain pada peringkat bahagian dan agensi.

Pada majlis itu, Fadhlina turut menyampaikan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan Kategori Teknik Vokasional kepada Ketua Jabatan Teknologi Awam, Kolej Vokasional Slim River, Perak, Ts Dr Siva A/L Rabindarang.
Inisiatif Pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (2020-2030)
Dilancarkan pada 2019.
Tujuan:
- Memperkasakan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang mencakupi pelbagai bidang dan sektor di Malaysia.
- Memperkasa perancangan dan pemupukan bahasa Melayu tinggi dan membentuk tamadun bangsa Malaysia yang berbudaya dan berakhlak mulia.
- Merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara.
- Mengantarabangsakan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama ASEAN dan menjadikan Malaysia sebagai pusat persuratan Melayu terulung di dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




