
BEIJING: Lawatan oleh perwakilan Kesatuan Eropah (EU) ke wilayah Xinjiang di China tergendala selepas mereka meminta akses untuk melawat pakar akademik Uighur, Ilham Tohti, kata sumber diplomatik hari ini.
Sejak 2019, China berkata ia menjemput diplomat asing dan ketua hak asasi PBB Michelle Bachelet untuk melawat Xinjiang, di mana jutaan Uighur dan minoriti Islam lain didakwa berada di kem tahanan.
Bagaimanapun, lawatan itu nampaknya belum kesampaian dengan seorang diplomat Eropah memberitahu AFP ini disebabkan misi berkenaan mahu melawat Tohti, pakar ekonomi Uighur yang dihukum penjara seumur hidup kerana tuduhan berkaitan perjuangan pemisah pada 2014.
Tohti menerima Anugerah Sakharov, iaitu anugerah hak asasi manusia tertinggi EU, pada 2019.
“Rundingan menemui jalan buntu disebabkan isu Tohti dan syarat lain,” kata diplomat itu. “Kemungkinan besar mereka tidak akan dapat melakukannya dalam masa terdekat.”
Duta China ke EU, Zhang Ming semalam berkata “hampir semua persiapan telah dibuat” untuk lawatan duta EU ke Xinjiang.
Namun, katanya, ia tergendala disebabkan ‘permintaan yang tidak dapat diterima.’
“Mereka mahu menemui seorang penjenayah yang telah didapati bersalah mengikut undang-undang China,” katanya.
“Ini tidak boleh diterima, maafkan saya.”
China menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku penindasan Uighur di Xinjiang sebaliknya menegaskan semua tahanan telah ‘tamat pembelajaran di pusat latihan vokasional’ yang didakwa membantu mengekang fahaman ekstremis di rantau itu dan meningkatkan pendapatan.
Sebelum ini, delegasi tiga pegawai EU yang mengambil bahagian dalam lawatan yang diatur dengan teliti ke Xinjiang pada Januari 2019 berkata mereka percaya orang yang ditemui di ‘pusat latihan’ berkenaan mengucapkan skrip yang telah dihafal.
Sementara itu, Zhang menambah, Menteri Luar China Wang Yi mengeluarkan jemputan untuk Bachelet pada 7 Mac selepas beliau menggesa “penilaian bebas dan komprehensif berhubung keadaan hak asasi manusia” di Xinjiang pada lewat Februari.
Beliau menegaskan Xinjiang “dibuka untuk diplomat, wartawan dan pelancong asing.”
Semua wartawan asing berdepan gangguan dan pemantauan ketat pihak berkuasa China jika cuba membuat laporan dari Xinjiang sejak setahun lalu, kata Foreign Correspondents’ Club of China.