
Arab Saudi menyatakan minat menganjurkan Piala Dunia 2034.
ARAB Saudi berpeluang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan bahawa negara itu merupakan calon tunggal yang menyatakan minat.
Keputusan sama ada Arab Saudi boleh menjadi tuan rumah akan disahkan secara rasmi pada akhir tahun depan dengan syarat semua kriteria teknikal dipenuhi.
Arab Saudi yang telah banyak melabur dalam bola sepak, Formula Satu dan golf bersedia untuk menjadi tuan rumah seterusnya selepas penganjuran di tiga negara iaitu Sepanyol, Portugal dan Maghribi, dengan tiga perlawanan di Amerika Selatan pada edisi 2030.
Tawaran itu dibuat setahun selepas negara jiran Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia pertama di Timur Tengah.



