
Zulhilmi (kiri) bersama Penolong Pegawai Perancang Bandar MDT, Mohd Faizal Mohd Yasin menunjukkan poster Gemas Warriors Challenge 2023 untuk penggiat sukan lasak pada bulan depan.
KIRA-KIRA 500 peserta sukan lasak larian berhalangan disasarkan menyertai Gemas Warrior Challenge 2023 di Gemas Golf Resort pada 17 Disember depan.
Kejohanan julung kalinya diadakan anjuran Majlis Daerah Tampin (MDT) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) itu bertujuan mempromosi sukan lasak dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu khususnya Gemas.
Setiausaha MDT, Zulhilmi Marzuki berkata, peserta perlu melalui pelbagai halangan termasuk meredah cabaran berbukit, persekitaran kelapa sawit, memanjat bukit selain menempuh halangan serta berlari sejauh 7 kilometer (km).
“Peserta juga perlu melintasi kawasan golf sebelum tiba ke garisan penamat di Gemas Golf Resort.



