
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub bergambar bersama pasukan bola keranjang Negeri Sembilan yang muncul juara Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong 2023 bagi kategori lelaki dan wanita di Malaysia Basketball Association (MABA) hari ini. – Foto Bernama
PASUKAN bola keranjang Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong bagi kategori lelaki dan wanita di Stadium Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) malam ini.
Saingan lelaki menyaksikan mereka unggul menjulang piala berkenaan buat kali keenam berturut-turut bermula 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2022, manakala kali keempat berturut-turut bagi kategori wanita.
Pemain hadapan pasukan lelaki, Wong Yi Hao yang memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) bersyukur apabila pasukannya terus mendominasi kejohanan berprestij itu dengan menumpaskan Johor 87-73 malam ini.
“Saya berterima kasih kepada pemilik pasukan iaitu Datuk Seri Lee Tian Hock atas segala sumbangan yang diberikan. Walaupun ini kemenangan kali keenam, tetap ada tekanan buat kami,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.



