TINDAKAN tegas akan diambil terhadap individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan semasa perlawanan Liga Suparimau antara pasukan Akademik MZ dan FCKL Eagles yang bersaing pada peringkat bawah 16 tahun (B16) kategori Tigers di Damansara di sini, Ahad lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementeriannya akan mendapatkan laporan penuh daripada pihak berkepentingan sebelum memutuskan tindakan seterusnya terhadap insiden yang tular di media sosial itu.
Menerusi video yang tular di laman Facebook Afif Aizad Azman dan media sosial X ‘Pemerhati Pengadil’, pergaduhan itu kelihatan tegang dan bertambah parah apabila turut melibatkan pihak pengurusan dan waris kedua-dua pasukan sehingga mendatangkan kecederaan.
Liga Suparimau ialah program pembangunan bola sepak akar umbi untuk pemain berusia lima hingga 17 tahun anjuran bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Maxim Events.



