Beliau berkata, harga yang ditetapkan FAM sudah cukup Rahmah dan keengganan peminat hadir ke stadium disebabkan oleh harga tiket yang dirasakan mahal pasti akan memberi kesan mendalam kepada para pemain yang turut melakukan pengorbanan masing-masing untuk mengharumkan nama negara.
Justeru, Jamal menyeru dan meminta peminat untuk hadir ke stadium dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya dalam memburu tiga mata penting esok.
Setakat pagi ini, sebanyak 7,587 keping tiket aksi Malaysia dan Kyrgyzstan sudah dijual.
FAM sebelum ini menetapkan harga tiket bagi aksi menentang Kyrgyzstan ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.
Bagaimanapun, semalam media melaporkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memohon FAM mempertimbangkan untuk menurunkan harga tiket selepas menerima pelbagai reaksi daripada peminat yang meminta tiket dengan “harga Rahmah” bagi membolehkan mereka membanjiri stadium.
Selepas dua perlawanan bulan ini termasuk aksi menentang Taiwan di Taipei pada 21 Nov, Malaysia dijadual bertemu Oman di tempat lawan dan di sini masing-masing pada 21 dan 26 Mac tahun depan, Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun di Bukit Jalil. – Bernama




