Taiwan selesai periksa vaksin AstraZeneca, suntikan dijangka bermula Isnin

Taiwan selesai periksa vaksin AstraZeneca, suntikan dijangka bermula Isnin
Vaksin pertama Taiwan sebanyak 117,000 dos AstraZeneca tiba di pulau itu awal bulan ini. (Gambar Bernama)

TAIPEI: Taiwan selesai memeriksa kumpulan pertama vaksin AstraZeneca Plc Covid-19 dan suntikan pertama mungkin mula diberikan Isnin ini, kata Menteri Kesihatan Chen Shih-chung.

Vaksin pertama Taiwan sebanyak 117,000 dos AstraZeneca – tiba di pulau itu awal bulan ini, walaupun masih belum dapat diagihkan.

Dalam kenyataan video semalam, Chen berkata dos yang berasal dari sebuah kilang Korea Selatan, kini selesai pemeriksaan akhir oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Taiwan.

Tujuan pemeriksaan adalah untuk menyusun agihan penerimaan seawal Isnin, katanya.

Kira-kira 60,000 orang dalam senarai untuk mendapatkan vaksinasi pertama, kata Chen.

Taiwan mengutamakan barisan hadapan kesihatan untuk mendapatkan suntikan.

Pada Disember, Taiwan mengatakan mereka bersetuju membeli hampir 20 juta dos vaksin, termasuk 10 juta daripada AstraZeneca.

Kebanyakan negara Eropah menangguhkan penggunaan vaksin minggu ini berikutan kebimbangan mengenai keselamatannya, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan semalam, vaksin itu lebih membawa manfaat berbanding risiko dan mengesyorkan agar vaksinasi diteruskan.

Kerajaan Taiwan meredakan kebimbangan berhubung kelewatan memulakan program vaksinasi, dengan menegaskan tidak ada keperluan mendesak di negara itu berikutan jumlah kes yang rendah berbanding negara lain yang kadar jangkitannya tinggi.

Ketika ini hanya 24 orang masih menerima rawatan di hospital kerana Covid-19 di Taiwan.

Pulau itu berjaya mengawal pandemik dengan baik sejak dari awal melalui pencegahan yang berkesan termasuk menutup sempadannya.

Scroll to Top