Laporan Info Banjir di laman rasmi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, menunjukkan sungai-sungai utama di Terengganu masih di paras normal kecuali di tujuh stesen di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kemaman, Setiu dan Marang.
Di Setiu, stesen Sungai Nerus di Kampung Bukit; Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri berada pada tahap waspada sementara Sungai Chalok di Jambatan Chalok memasuki tahap amaran.
Di Kuala Nerus pula, stesen Parit Utama di Padang Kemunting sudah mencapai tahap bahaya apabila paras air mencapai paras 4.17 meter (m) sementara di stesen Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, air sungai berada pada paras waspada.
Di Kemaman, stesen Sungai Tumpat di Kg Baru Kemasik juga melepasi tahap amaran iaitu di paras 1.84m.
Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 316 orang mangsa daripada 80 keluarga malam ini, berbanding 71 mangsa daripada 17 keluarga petang tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa berlindung di tiga PPS di jajahan Pasir Puteh dan Bachok (2).
“Di Pasir Puteh, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Rhu menempatkan 197 mangsa, SK Wakaf Raja (30) dan SK Sungai Petai (31),” menurut portal tersebut.
JKM memaklumkan di Bachok sebanyak 29 mangsa ditempatkan di PPS SK Jelawat dan Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor (29).
Di Perak, keadaan banjir semakin pulih apabila hanya tinggal 39 orang daripada 14 keluarga berlindung di satu PPS di Alor Pongsu, Kerian setakat malam ini, berbanding 75 orang daripada 22 keluarga pagi tadi.
Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan PPS SK Changkat Lobak yang sebelum ini menempatkan 18 orang daripada tiga keluarga ditutup petang tadi selepas semua mangsa pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan berterusan di Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Manjung hingga 23 November ini. – Bernama




