bhnews@bh.com.my
PUTRAJAYA: Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan Komuniti Koperasi bagi menanam pokok spesis kayu putih atau Eucalyptus.
Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata menerusi program berkenaan ia secara tidak langsung boleh membuka peluang perniagaan dan pendapatan kepada ahli koperasi di bawah ANGKASA untuk membekalkan bahan mentah kepada industri perkayuan di seluruh negara.
Abdul Fattah berkata, beliau melihat program berkenaan sebagai satu projek bernilai tinggi yang boleh diterokai oleh koperasi dan anggotanya bukan saja untuk menjana pendapatan tetapi mempunyai kapasiti yang sangat baik untuk pembangunan aktiviti perniagaan komunti yang kebanyakannya diterajui oleh masyarakat luar bandar.
“Bagi menjayakan program ini, ANGKASA akan membantu MPMA mengadakan program kesedaran mengenai projek ini dan mengenalpasti koperasi yang benar-benar layak untuk mengambil bahagian dalam program terbabit.
“Sehingga kini terdapat 650 koperasi yang terbabit dengan pelbagai aktiviti perladangan dan kebanyakannya dalam sektor komoditi kelapa sawit,” katanya berucap sebelum menandatangani MoU dengan MPMA, di sini hari ini.
Turut bersama dalam majlis berkenaan ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan dua timbalannya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Datuk Willie Mongin.
Menerusi MoU berkenaan, beliau berkata, MPMA berperanan membekalkan sumber anak pokok spesis ladang hutan yang berkualiti, pembangunan teknologi dan turut membantu dari aspek pengurusan ladang yang diusahakan oleh pihak koperasi sehingga tuaian hasil.
Katanya, MPMA juga akan memastikan pengusaha dan pekilang industri yang terbabit dalam program itu membeli kembali hasil tuaian pokok spesis ladang hutan yang diusahakan oleh pihak koperasi pada harga pasaran atau dengan harga yang dipersetujui bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd