KUALA LUMPUR – Komited menjadikan bahasa sebagai salah satu cabang pendidikan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama INDEP Education Foundation (IEF) telah mengadakan Program Be English Speaker Today For A Better Tomorrow (BEST) baru-baru ini.
YBR pada satu majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Moyog Penampang telah membuat pelancaran Program BEST di mana ia melibatkan 390 murid dan 90 guru di sekitar luar bandar di Sabah yang akan dijalankan di sembilan lokasi ditetapkan.
Objektif program itu bagi memupuk pelajar untuk menghargai Bahasa Inggeris serta membangunkan keyakinan pelajar.
Majlis pelancaran Program BEST itu telah disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Majlis turut dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Tan Sri Bernard Dompok, Pengerusi INDEP Education Foundation (IEF); Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Ewon berkata, sokongan padu YBR membantu tahap pendidikan anak-anak Sabah dalam menangani jurang pendidikan serta mewujudkan input linguistik dikalangan pelajar sama ada di bandar atau di luar bandar amatlah dihargai.
“Usaha ini sebegini mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di Sabah selain kesedaran mengenai fungsi Bahasa Inggeris serta meningkatkan keyakinan diri pelajar untuk menggunakan bahasa ini sebagai antara bahasa yang mudah digunakan selain bahasa kebangsaan.”
Pada majlis sama Philip Benedict menyokong segala bentuk program pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar terutamanya di Sabah melalui pemerkasaan tahap pendidikan.
“Penganjuran Program BEST ini merupakan salah satu langkah alternatif dalam membantu tahap penguasaaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah serta mewujudkan persekitaran yang kompeten di sekolah.
“Melalui BEST, ia dapat mengembangkan usaha dalam memastikan tahap pengunaan bahasa antarabangsa diberikan kepada semua peringkat terutamanya pelajar sekolah.
“Selain itu faktor guru-guru juga memainkan peranan yang penting kerana mereka perlu menyediakan modul pembelajaran dan ini merangsang penggunan bahasa serta kefasihan bertutur dan tahap penguasaan Bahasa Inggeris,” katanya. – MalaysiaGazette




