SERDANG: Tokoh perbankan, Tan Sri Azman Hashim telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Kewangan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-47 semalam.
Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menyampaikan ijazah kehormat tersebut.
Beliau merupakan Pengerusi Emeritus merangkap Penasihat Kehormat Kumpulan AmBank dan Pengerusi beberapa badan lain antaranya, Yayasan Kepimpinan Perdana, Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC), Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (MAJECA) dan Friends of Prison Association dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO).
Menurut kenyataan UPM, sumbangan Azman yang juga dikenali sebagai seorang filantropi korporat yang bersifat dermawan bagi melonjakkan industri pengajian tinggi antaranya penubuhan Yayasan Azman Hashim yang aktif menyalurkan pelbagai bentuk sumbangan kewangan kepada pelbagai golongan penerima.
“Beliau juga telah menerima pelbagai anugerah dari serata dunia iaitu Asia’s Banker of the Year pada tahun 1985 oleh ASEAN Finance, dianugerahkan The Order of The Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon oleh Maharaja Jepun pada tahun 1987.
“Azman turut menerima The Oder of Australia oleh Gabenor Jeneral Komanwel Australia pada Julai 2008. Kemudiannya, pada tahun 2009, beliau mendapat anugerah “Lifetime Achievement Award” semasa 4th Annual Islamic Business and Finance Awards di Dubai,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pada 2016, Azman diberikan anugerah “Islamic Finance Pioneering Initiative Award” oleh Islamic Banking Finance Institute Malaysia dan menerima anugerah The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Maharaja Jepun pada 2021.
Pada 2022 beliau juga telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan 1444H/2022M.
Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin berkata, pemilihan Azman adalah tepat dan berharap dapat menjalinkan hubungan sinergi bersama industri untuk bertukar pandangan yang boleh dimanfaatkan kepada pelajar dan staf pensyarah.
“Berdasarkan ilmu kewangan serta pencapaian beliau ianya boleh dimanfaat kepada warga kampus sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang holistik serta berkemahiran tinggi,” katanya. – UTUSAN




