Pengalaman berguna Kisona

Pengalaman berguna Kisona

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona mengakui masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pemain utama dunia yang lain selepas tersingkir di pusingan pertama saingan badminton Seluruh England, awal pagi tadi.

Kisona yang membuat penampilan pertama pada kejohanan berprestij itu terpaksa akur apabila tewas di tangan pilihan kelapan dari Thailand, Busanan Ongbamrungphan 6-21, 7-21 dalam aksi yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu, berkata dia perlu bekerja lebih keras bagi memastikan dirinya mampu memberi persaingan sengit kepada kelompok utama dunia dalam kejohanan peringkat tertinggi.

“Ini akan menjadi pengalaman yang berguna untuk saya. Saya tahu apa kelemahan saya dan saya akan bekerja keras untuk memperbaikinya.

“Saya mahu pastikan saya mampu bermain lebih baik pada saingan Seluruh England, tahun depan,” kata pemain berusia 23 tahun itu yang ketika ini menghuni ranking ke-62 dunia.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Busanan, Kisona mengakui lawan itu berjaya mengawal keseluruhan permainan.

“Busanan bermain dengan sangat baik, dia mengawal gelanggang. Saya tidak boleh mengikut kepantasannya dan itu membuatkan saya sukar untuk mendapatkan mata,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara yang kini bergerak secara profesional, Soniia Cheah turut terkandas di pusingan pertama selepas tewas di tangan juara dunia 2019 dari India, P V Sindhu 11-21, 17-21.

Kekalahan dialami kedua-dua wakil negara itu mengakhiri perjuangan Malaysia dalam acara perseorangan wanita di Birmingham.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top