Letak calon di Sarawak, GPS sedia bincang dengan BERSATU

Letak calon di Sarawak, GPS sedia bincang dengan BERSATU

mdroji@nstp.com.my

PETRA JAYA : Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedia mencari persefahaman dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berhubung hasrat parti itu bertanding pada pilihan raya di Sarawak.

Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pada dasarnya gabungan empat parti tempatan Sarawak itu akan meletakkan calon di semua kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, katanya, perbincangan perlu diadakan bersama pucuk pimpinan BERSATU sebagai menghormati rakan dalam Kerajaan Persekutuan.

“Tetapi itu hanyalah pandangan peribadi saya. Keputusan akhir mengenainya adalah hak Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg,” katanya selepas Taklimat Program Malaysia Prihatin: Pengurusan COVID-19 Bersama Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian apabila ditanya media mengenai pendirian GPS jika BERSATU berhasrat meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketika ini, BERSATU memiliki dua Ahli Parlimen di Sarawak iaitu Datuk Ali Biju di Saratok dan Datuk Willie Mongin di Puncak Borneo selepas kedua-dua pemimpin itu yang menang di kawasan masing-masing pada PRU-14 dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu.

Sementara itu, mengulas perkembangan projek Lebuh Raya Pan Borneo, Fadillah yang juga Menteri Kanan (Kerja Raya) berkata, projek di Sarawak kini siap 60 peratus, manakala di Sabah pula 45 peratus.

“Ketika saya mengambil alih (semula) tanggungjawab Menteri Kerja Raya (tahun lalu) projek itu mengalami kelewatan setahun dan dengan keadaan sekarang, projek itu kini mengalami kelewatan kira-kira satu tahun setengah.

“Semua 11 pakej projek di Sarawak kini berjalan serentak tetapi di Sabah setakat ini hanya dilaksanakan 10 pakej, manakala lima pakej lagi masih dalam tawaran tender,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, projek Pan Borneo Sarawak masih terlewat selepas rakan pelaksana projek (PDP) ditamatkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Sebab itu kita melantik satu syarikat perunding untuk membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memastikan kelancaran projek itu,” katanya.

Projek Pan Borneo Sarawak yang dilaksanakan dengan kos berjumlah RM16.12 billion dijangka siap pada 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top