MRSM Ranau sedia tingkat akses pendidikan berkualiti

MRSM Ranau sedia tingkat akses pendidikan berkualiti

PENDIDIKAN berkualiti penting untuk kanak-kanak dan merupakan asas kepada pembangunan insan ke arah melahirkan generasi berpotensi dan bersahsiah tinggi.

 Bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah dalam menyediakan pendidikan berkualiti, PETRONAS telah membangunkan dan seterusnya menyerahkan kampus Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Ranau kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada satu majlis yang telah diadakan baru-baru ini.

MRSM Ranau sedia tingkat akses pendidikan berkualitiKapsyen: Datuk Bacho Pilong menyerahkan replika kunci kepada Datuk Seri Safar Untong dan Razlan Samsuri, disaksikan Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – FOTO PETRONAS

Replika kunci diserahkan oleh Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Datuk Bacho Pilong kepada wakil kerajaan negeri Sabah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, yang seterusnya menyerahkan replika itu kepada Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Razlan Samsuri bagi urusan pengoperasian fasiliti berkenaan.

Upacara simbolik penyerahan replika kunci itu disaksikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz serta Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir, menteri-menteri kabinet negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pengurusan tertinggi PETRONAS.

Masidi ketika membaca teks ucapan Hajiji berkata, inisiatif ini amat positif kerana ia sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berdaya saing.

Ia sekali gus membantu menyediakan platform bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Pembinaan MRSM Ranau ini diharapkan dapat memberi lebih banyak peluang kepada para pelajar menyemai perasaan suka dan minat untuk mendalami bidang ini.

“Seterusnya mendorong mereka untuk memilih kerjaya STEM agar dapat menjadi pakar yang menyumbang kepada industri, negeri dan negara yang tercinta,” katanya.

MRSM Ranau merupakan hasil kerjasama PETRONAS dengan Kerajaan Negeri Sabah dan MARA, di mana tapak pembinaan disediakan oleh kerajaan negeri dan MRSM ini dirangka mengikut keperluan yang ditentukan oleh MARA.

Sementara itu, Tengku Muhammad Taufik, berkata kejayaan projek MRSM Ranau adalah bukti semangat kerjasama dan komitmen bersama antara Kerajaan Negeri Sabah, MARA dan PETRONAS dalam memperkasa pembangunan modal insan melalui pendidikan. 

“Penyerahan MRSM Ranau membuka satu lagi lembaran baharu dalam kerjasama antara semua pihak ke arah menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan di kalangan belia Sabah sebagai aset yang menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran negeri.

“PETRONAS percaya belia Sabah akan terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik ke arah melahirkan bakat tempatan yang berkemahiran untuk menyokong matlamat sosial, ekonomi dan kelestarian di Sabah – sejajar dengan aspirasi Agenda Pembangunan Modal Insan Sabah-PETRONAS,” katanya.

Menyambut baik kerjasama PETRONAS, Asyraf Wajdi berkata, kerjasama itu bakal mewujudkan dimensi baharu pendidikan luar bandar yang akan memberi limpahan manfaat kepada penduduk Sabah, khususnya di sekitar daerah Ranau.

Beliau berharap usaha membangunkan institusi pendidikan menengah yang terbaharu ini akan mengukuhkan serta memantapkan lagi sistem pendidikan masyarakat luar bandar, sekaligus menjadi penyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri Sabah.

MRSM Ranau berkeluasan melebihi 26,000 meter persegi dan merupakan MRSM yang kelima di Sabah. – FOTO PETRONAS

Dengan keluasan lantai melebihi 26,000 meter persegi, kampus MRSM Ranau mempunyai kapasiti untuk menampung 450 pelajar.

Seramai 180 pelajar Tingakatan 1 dan Tingkatan 4 akan menjadi kumpulan pertama yang akan menduduki MRSM itu tahun hadapan.

Kampus MRSM ini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bangunan pentadbiran, blok akademik, pusat sumber, asrama pelajar, pusat pelajar, dewan makan, dewan serbaguna, pavilion, surau, kediaman kakitangan, kediaman guru, bangunan sampingan dan pelbagai kemudahan sukan yang telah dirancang dengan teliti demi memenuhi pelbagai keperluan pelajar, guru dan pengurusan kampus.

Ia juga merupakan MRSM yang kelima di Sabah selain daripada Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Semporna.

 PETRONAS sebagai sebuah syarikat terkemuka dalam industri tenaga amat komited terhadap pembangunan modal insan serta memberi fokus utama kepada pelaburan jangka panjang dalam pendidikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top