London: Jaringan mengagumkan Dwight McNeil memberikan Everton kemenangan pertama mereka sejak dipotong 10 mata Liga Perdana apabila menundukkan Nottingham Forest 1-0.
McNeil menjaringkan gol pertamanya dalam kempen musim ini di City Ground dengan sepakan voli tajam menerjah ke penjuru belakang.
Kemenangan itu juga membantu skuad kendalian Sean Dyche mendaki ke tangga ke-18 liga selepas kemenangan 5-0 Burnley ke atas Sheffield United.
Kemenangan itu juga turut memberi tekanan kepada bos Forest, Steve Cooper selepas kekalahan berturut-turut di tempat sendiri.
Dyche berkata prestasi Everton menunjukkan kemajuan yang dicapai oleh pasukannya selepas terpaksa “memulakan semula” musim mereka.
“Ia adalah satu langkah ke arah yang betul tetapi masih banyak lagi langkah yang perlu dilalui,” katanya.
“Saya fikir kami berdepan musim yang tegang, dua bulan kebelakangan ini. 17 mata sebelum dipotong adalah satu yang positif.
“Sudah tentu ia berubah tetapi mentaliti dan tahap prestasi berada di landasan yang tepat. Saya fikir kami kelihatan seperti pasukan yang lebih baik.”
Forest cuba memberi tekanan ke gawang Everton ketika permainan menuju ke wisel penamat dan pelawat terhutang budi dengan kehebatan Jordan Pickford mengawal gawang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




