KUALA LUMPUR – Netizen dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kini membanjiri laman media sosial Instagram milik Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Hans Issac selepas melihat keadaan semasa padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ).
Ia selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam berkongsi keadaan terkini padang Harimau Malaya itu di laman media sosialnya dengan kapsyen yang ditujukan kepada Hans Isaac.
Tidak lama kemudian, peminat terus membanjiri laman Instagram Hans yang juga pelakon dan pengarah filem dengan mendesak beliau agar bertangunggjawab ekoran padang yang ditanam rumput Zeon Zoysia itu terkoyak di beberapa bahagian.
Jumaat ini, SNBJ akan menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Terengganu menentang JDT.
Pada 24 November lalu, media melaporkan padang SNBJ rosak angkara konsert Coldplay selepas TMJ memuat naik gambar keadaan permukaan padang stadium terbabit di laman Instagram miliknya.
Susulan daripada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi dilaporkan berkata, pihaknya akan melakukan kerja membaik pulih dengan kadar segera untuk digunakan bagi final Piala Malaysia.
Padang baharu SNBJ yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia adalah tajaan daripada TMJ dan ia digunakan secara rasmi pada Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober lalu.
Keadaan padang kembali ke tahap terbaik pada aksi pertama kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia mempamerkan kebangkitan, sekali gus berjaya menumbangkan Krygyzstan 4-3. – MalaysiaGazete




