Keluarga pesakit meninggal ketika rawatan kecemasan tuntut KKM bentuk panel siasatan bebas

Keluarga pesakit meninggal ketika rawatan kecemasan tuntut KKM bentuk panel siasatan bebas

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Keluarga pesakit berusia 51 tahun yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Sultan Abdul Halim (HSAH) Ahad lalu menuntut Kementerian Kesihatan (KKM) membentuk panel bebas bagi menyiasat kejadian itu.

Peguam keluarga mendiang, Dr Shamsher Singh Thind berkata anak guamnya memohon panel terbabit diletakkan di bawah seliaan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan bukannya pengurusan HSAH.

“Oleh itu, kami memohon satu siasatan yang telus dan teratur dijalankan dengan segera oleh satu panel yang bebas.

“Anak guam kami sudah hilang kepercayaannya terhadap keupayaan serta niat pihak pengurusan di HSAH menjalankan siasatan dalam perkara ini.

“Kami juga memohon agar kami diberi maklum balas dari semasa ke semasa mengenai apa-apa perkembangan dalam perkara ini.

“Sekiranya keterangan anak guam kami atau mana-mana ahli keluarganya diperlukan bagi tujuan menyempurnakan siasatan, sila beritahu kami terlebih dahulu,” katanya dalam notis tuntutan kepada ketua pengarah kesihatan.

Shamser berkata, anak guamnya juga berhak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang yang difikirkan perlu.

Beliau menegaskan sebarang komunikasi antara kementerian dan keluarga si mati hanya perlu dibuat dengan kehadiran peguam.

“Menurut balu Chandran, Valy Lachimanan, mendiang meninggal dunia di HSAH pada 6.31 pagi pada 3 Disember akibat ‘acute inferior myocardial infarction’

“Mendiang dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HSAH pada hari sama kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Walaupun sudah sekian lama mangsa mengadu sakit dada dan sesak nafas, dia tidak diberikan rawatan sewajarnya dan dalam masa yang munasabah oleh doktor serta kakitangan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSAH ketika itu khususnya di Zon Merah.

“Disebabkan kecuaian atau ketidakcekapan doktor dan kakitangan, pesakit telah meninggal dunia,” katanya.

Hari ini media melaporkan KKM akan menyiasat dakwaan berhubung kematian seorang pesakit lelaki yang dikatakan tidak mendapat rawatan yang tepat di HSAH, Sungai Petani seperti yang ditularkan di media sosial, Khamis lalu.

HSAH dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak pengurusan hospital memulakan siasatan berhubung kejadian pada Khamis dan memberi jaminan setiap aduan akan disiasat secara telus, mengikut prosedur yang ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top