YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan menghantar sampel darah bekas pemain skuasy lelaki negara, Kenneth Low ke sebuah pusat penyelidikan kesihatan di Korea Selatan dalam tempoh dua minggu lagi.
Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, tujuan utama YAKEB menghulurkan bantuan itu adalah bagi mengenal pasti sama ada Kenneth benar-benar menghidap Multiple sclerosis (MS), penyakit kronik berkaitan saraf atau mengalami penyakit lain.
Beliau berkata, keputusan juga dibuat berikutan tiada pusat penyelidikan kesihatan di negara ini yang mampu menjalankan penyelidikan lebih spesifik berkaitan penyakit Kenneth.
“Pada awalnya kami mengesyaki penyakit itu ialah MS, tetapi kami mahu membuat pemeriksaan secara keseluruhan, jadi mereka (pusat penyelidikan kesihatan di Korea Selatan) mampu memberikan diagnosis yang betul.



