Guna mahkamah kerana faham kelompangan proses pengadilan

Guna mahkamah kerana faham kelompangan proses pengadilan

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kecenderungan tertuduh menggunakan mahkamah untuk ‘menegakkan basah’ atas nama mencari keadilan adalah kerana memahami wujud kelompangan dan kesilapan teknikal dalam proses pengadilan.

Pakar undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, berkata kelompangan dan kesilapan teknikal lazimnya dimanipulasi untuk menjejaskan keseluruhan proses pengadilan

“Dalam pendakwaan, ia memerlukan bukti lengkap. Apabila berlaku kelompangan sama ada ketika siasatan, pengumpulan maklumat, bukti atau kesilapan teknikal, ia akan menjejaskan keseluruhan proses pengadilan.

“Hal ini menyebabkan tertuduh terlepas, maka apa yang perlu diperbaiki adalah sentiasa melatih pegawai, pendakwa raya dan pegawai penyiasat supaya cekap menjalankan siasatan.

“Pendakwa raya bergantung kepada kertas siasatan dan sekiranya ada kesilapan ia akan menjejaskan pendakwaan di mahkamah,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, banyak pihak memilih menjadikan mahkamah gelanggang menegakkan ‘benang basah’ sehingga tergamak terus berbohong walaupun melafazkan sumpah dengan nama Allah untuk bercakap benar ketika bersoal jawab di kandang saksi.

Baginda bertitah, mereka bersedia membayar fi guaman yang tinggi yang sering kali pula dibiayai daripada wang diperoleh melalui sumber jenayah atau hasil daripada perlakuan dosa itu.

Titahnya, keadaan itu memberi gambaran masih ramai belum menghayati ajaran Islam sepenuhnya dan terus melakukan dosa secara berulang dengan lebih tanpa gentar terhadap apa yang bakal ditempuhi di alam barzakh dan akhirat nanti.

Salawati berkata, terdapat beberapa kekangan yang wujud dalam proses pengadilan hingga tidak dapat membuktikan tertuduh bersalah.

“Antara kekangan itu ialah saksi menarik diri, saksi penting tidak hadir perbicaraan, dokumen pendakwaan tidak lengkap atau sengaja dimusnahkan sebelum sampai ke tangan pendakwaan serta pegawai tidak mencukupi hingga menimbulkan kekhilafan kes.

“Justeru, semua elemen siasatan jenayah dan kanun perlu dipenuhi bagi memastikan bagi memastikan kecekapan proses pendakwaan.

“Ini bagi memastikan tiada kekhilafan atau kesilapan daripada segi melaksanakan siasatan supaya ia dapat membuktikan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, berkenaan orang Islam yang tidak bercakap benar, ia memang lazim berlaku berikutan seseorang itu memilih memutar-belitkan kenyataan,

“Maka untuk menyelesaikannya, siasatan dan pendakwaan kena cekap, kerana untuk melatih pegawai mengambil masa lama.

“Pegawai bertanggungjawab perlu amanah berikutan ada kes pegawai pendakwa membuang bukti, bersekongkol dengan kes dadah hingga pertuduhan jadi lain,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, berkata, rakyat perlu menghayati titah Sultan Nazrin yang menegur pihak tertentu supaya tidak menjadikan mahkamah gelanggang untuk ‘menegakkan benang basah’.

Katanya, titah Sultan Nazrin itu demi kebaikan ummah kerana baginda tidak menyebelahi mana-mana kaum atau pihak.

“Justeru teguran baginda itu perlu menjadi peringatan yang baik kepada orang Islam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top