ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira kenaikan harga bahan binaan, khususnya besi, dalam sebarang projek yang akan diagihkan kepada kontraktor kecil, menerusi bantuan khas RM260 juta dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, berkata sekiranya kenaikan harga itu tidak diambil kira, agihan projek berkenaan, khususnya kepada kontraktor G1, tidak akan mendatangkan manfaat.
“PKMM berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan ini, namun agihan projek melalui peruntukan itu perlu mengambil kira kenaikan harga bahan binaan, khususnya besi yang melonjak 30 peratus ketika ini, dan masih terus mencatatkan peningkatan.
“Jika kos projek tidak mengambil kira kenaikan harga bahan itu, banyak kontraktor kecil tidak mampu melaksanakannya dan terpaksa menanggung kerugian, atau keuntungan akan mengecil.
“Besi adalah bahan binaan utama dan bila harganya naik, harga bahan lain seperti wayar kabel, bumbung dan tingkap akan ikut naik. Jadi, perkara ini perlu diambil kira,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan bantuan khas RM260 juta yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 dan G4, akan mula diagihkan kepada setiap negeri bermula Isnin ini untuk pelaksanaan segera projek kecil bagi memulihkan ekonomi setempat di peringkat akar umbi.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzill berharap mekanisme tuntutan kenaikan harga dalam projek kerajaan yang dibatalkan empat tahun lalu, dikembalikan supaya kontraktor kecil yang melaksanakan projek kerajaan tidak terbeban.
“Dulu, kenaikan harga bahan binaan boleh dituntut. Kami harap ia dikembalikan kerana kenaikan ini di luar kawalan kontraktor,” katanya.
Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan membekukan kembali pendaftaran kontraktor G1, yang mula dibuka pada September 2019 berikutan jumlah kerja yang sedikit ketika ini.
“Apabila pendaftaran dibuka semula, jumlah kontraktor G1 bertambah 15,000 dalam tempoh setahun. Sekarang, kita ada 35,000 kontraktor G1 seluruh Malaysia.
“Kerajaan perlu bekukan kembali pendafataran ini kerana jumlahnya terlampau ramai tetapi kerjanya kurang, atau perbanyakkan kerja untuk kontraktor G1,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




