am@hmetro.com.my
Shah Alam: Seorang tenaga pengajar sebuah kolej di Sarawak maut dipercayai dibunuh suami sendiri di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 5.33 pagi memaklumkan isterinya mengalami sawan dan dibawa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.
Katanya, pemeriksaan awal oleh doktor ke atas mangsa mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuh wanita berusia 33 tahun itu.
“Siasatan lanjut polis mendapati mangsa dipukul oleh suspek di rumah mereka dipercayai akibat cemburu sebelum dibawa ke hospital.
“Suspek berusia 38 tahun ditangkap di Hospital Shah Alam pada 12.49 tengah hari semalam.
“Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul isterinya iaitu sebuah ‘dumbel’,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasangan berkenaan baru berkahwin pada April lalu dan belum mempunyai anak.
Katanya, mangsa yang bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej di Sarawak pulang bercuti untuk menghadiri perkahwinan adik iparnya.
“Hasil semakan mendapati suspek yang bekerja sendiri itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan pukul dan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.
Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika disabitkan dengan kesalahan.
“Individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
