
Kesebelasan JDT. – Foto FB Johor Southern Tigers
SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan pencapaian gemilang dalam saingan Liga Super 2023 apabila menumpaskan Penang FC, 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus melengkapkan sambutan ‘Decade Of Dominance’ yang diadakan sejurus tamat perlawanan bagi meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu mendominasi saingan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selama sedekad, sejak musim 2014 lalu.
Malah, keraian tersebut turut meraikan kejayaan JDT melakar sejarah selaku kelab bola sepak pertama negara yang menjuarai empat trofi (quadruple) dua musim berturut-turut (double quadruple) melibatkan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Aksi Liga Super petang tadi menyaksikan JDT yang baru sahaja dinobatkan selaku juara Piala Malaysia 2023 bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak hebat ke gawang pelawat bagi membuka jaringan.



