bhsukan@bh.com.my
MELAKA: Dua gol sepakan penalti Alex Goncalves membantu Melaka United (MU) menghapuskan badi seri selepas menundukkan KL City 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.
Malah, kemenangan itu juga mengubat kekecewaan selepas skuad Hang Tuah ditolak tiga mata semalam angkara gagal menjelaskan tunggakan gaji.
Namun, dua percubaan awal tuan rumah menerusi Jang Sukwon dan Sony Norde pada minit ke-10 dan 12 tinggi melepasi palang gol pelawat.
Bagaimanapun, anak buah Bojan Hodak turut memiliki peluang menjaringkan gol namun percubaan Muhammad Hadin Azman pada minit ke-14 berjaya diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Kubu pelawat bagaimanapun pecah pada minit ke-51 apabila tindakan Giancarlo Gallifuoco menjatuhkan Goncalves menyebabkan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti.
Goncalves yang mengambil sepakan itu mudah menyepak masuk untuk membolehkan MU mendahului.
MU terus mengganas dengan jaringan kedua sekali lagi menerusi penalti Goncalves pada minit ke-81 selepas bola terkena tangan pemain gantian Indra Putra Mahayuddin.
Namun, anak buah Zainal Abidin Hassan sedikit cemas selepas Abdul Azim Rahim mencipta gol sagu hati buat KL City pada minit ke-89 namun sudah terlambat untuk bangkit menyamakan kedudukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




