am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jenayah seksual membabitkan kes rogol, liwat dan cabul terhadap remaja berusia bawah 16 tahun di negeri ini meningkat pada tahun ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah mangsa yang direkodkan adalah seramai 116 orang bermula Januari hingga 17 Disember lalu, berbanding 91 mangsa pada tahun lalu.
Menurutnya, bagi tempoh sama, seramai 72 mangsa adalah pelajar, manakala 44 mangsa lagi sudah tidak bersekolah.
Katanya, kesemua mangsa terbabit berusia bawah 16 tahun berbanding 70 mangsa terdiri daripada pelajar dan 21 mangsa lagi sudah tidak bersekolah pada tahun lalu.
“Bagi kesalahan jenayah seksual, ia turut membabitkan tangkapan suspek berusia 19 tahun ke bawah dari Januari hingga Disember di mana seramai 12 suspek adalah pelajar dan empat suspek bukan pelajar.
“Manakala pada tahun lalu, suspek yang ditangkap membabitkan 21 pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pocket Talk Ketua Polis Kelantan 2023 “Gejala Sosial Remaja: Caknakah Kita di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, selain itu statistik Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) membabitkan pelajar turut menunjukkan peningkatan.
“Dalam tempoh Januari hingga 17 Disember lalu, seramai 57 mangsa adalah pelajar, manakala sembilan mangsa pula bukan pelajar dan kesemua mereka berusia bawah 18 tahun
“Manakala pada tahun lalu, ia membabitkan 44 mangsa daripada kalangan pelajar dan lapan mangsa bukan pelajar.
“Bagi kesalahan AKSTK, dalam tempoh Januari hingga 17 Disember lalu, lapan suspek terdiri daripada pelajar dan 20 bukan pelajar yang masing-masing berusia 19 tahun ke bawah ditangkap.
“Sementara itu, pada tahun lalu hanya enam suspek iaitu pelajar yang ditangkap bagi kesalahan berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

