Arja Lee 'jatuh hati' dengan Aina Abdul

Arja Lee 'jatuh hati' dengan Aina Abdul

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Arja Lee meluahkan hasrat menyanyikan lagu hasil nukilan penyanyi dan komposer terkenal Aina Abdul.

Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 40, berkata dia sudah lama menaruh impian berkenaan selepas melihat potensi penyanyi berbakat besar dan sentiasa mengikuti perkembangan karier Aina di media sosial.

“Aina seorang penyanyi yang bijak walaupun dia artis baharu. Pada tahap ini, maksudnya boleh dikatakan saya sudah jadi peminatnya.

“Saya sangat berkenan dan ‘jatuh hati’ dengan hasil lirik lagunya yang ada jiwa. Aina juga tidak hanya pentingkan pengikut atau bekerja untuk mengejar populariti sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Arja menyifatkan Aina seorang yang kental kerana memiliki cara sendiri untuk mempamerkan bakat sebenarnya menggunakan komponen dan mekanisme berbeza daripada artis lain.

“Saya sebenarnya nak tunjukkan bakat nyanyian dan keupayaan suara saya menerusi lagu ciptaannya. Saya tak kisah berapa pun jumlah yang akan dikenakan.

“Saya tak pernah jumpa dia sebelum ini dan tak kenal orang yang rapat dengannya, sebab itu saya tak tahu cara nak mendekatinya,” katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur, semalam.

Dalam masa sama, Arja memberitahu dia gemar genre muzik balada dan sangat meminati naskhah Jangan Mati Rasa Itu oleh Aina.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai filem Sayu yang Syukur, ia adalah buah tangan buat peminat selepas lama mendiamkan diri dalam dunia lakonan.

“Ramai yang tanya bila saya nak berlakon tetapi kini saya aktif menjadi tenaga pengajar. Namun, ini adalah kemunculan semula yang baik buat saya.

“Saya boleh kata yang saya nak kembali semula dalam industri pada 2024. Kini saya sudah pun kembali dalam filem besar yang ditayangkan selepas lapan tahun,” katanya.

Selain Arja, Sayu Yang Syukur yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Disember ini turut dibintangi Datuk Aaron Aziz, Nora Danish, Fairie Khalil, Raja Ema, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top