SYDNEY: Ribuan penduduk di pinggir bandar ini terpaksa dipindahkan susulan banjir besar akibat hujan lebat melanda kawasan itu, hari ini.
Perkhidmatan kecemasan mengeluarkan arahan itu di beberapa kawasan rendah di timur laut bandar ini, sehari selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran potensi ancaman nyawa akibat banjir kilat di negeri New South Wales.
Penduduk berpusu-pusu pindah ke pusat pemindahan di utara bandar ini susulan hujan lebat semalam yang melanda wilayah pesisir pantai itu akibat hujan luar biasa pada musim panas.
Di Taree, 150 orang berlindung di sebuah auditorium yang sebelum ini digunakan sebagai tempat perlindungan mangsa kebakaran semak.
Ketua Eksekutif Kelab Taree, Paul Allen menggambarkan banjir sebagai bencana dahsyat sehingga beberapa penduduk hilang segala harta benda.
Hujan lebat turut diramal akan bergerak ke selatan pantai minggu ini manakala keadaan cuaca tidak menentu dijangka berterusan sehingga Khamis ini.
Paras air di Empangan Warragamba yang membekalkan air kepada penduduk Sydney, melimpah semalam sehingga akar menjangkakan ia adalah yang pertama terjadi sejak 1990.
Sementara itu, perkhidmatan kecemasan turut menerima lebih 1,000 panggilan kecemasan meminta bantuan di samping melakukan kira-kira 100 tugas menyelamat sejak malam Sabtu sehingga hari ini.
Hujan dan banjir turut dilaporkan akan menyebabkan kelewatan pemberian suntikan vaksin COVID-19 di bandar ini dan kawasan sekitarnya.
Australia dijadual memulakan fasa pertama suntikan vaksin besar-besaran mulai esok selepas program itu mengalami kelewatan akibat kekurangan bekalan dan menghadapi masalah penghantaran. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




