am@hmetro.com.my
Parit: Kemesraan ditunjukkan Ahmad Hazim Baharuddin, sehari sebelum pemergiannya akan sentiasa terpahat dalam ingatan keluarganya di Bota Kanan di sini.
Pemuda berusia 25 tahun itu meninggal dunia bersama rakannya, Mior Hairul Adzaha Abdul Hamid, 39, selepas terperangkap dalam pikap yang jatuh dan tenggelam di tali air Kampung Pulau Pisang di sini, Khamis lalu.
Kakak Ahmad Hazim, Masuraya, 33, berkata, adik bongsu daripada lima beradik itu sempat memasak ayam goreng dan menyuap hidangan itu pada abang sulung mereka, Mior Mohd Syawal, 34, malam Rabu lalu.
“Ketika itu, semua adik-beradik termasuk mak (Siti Rokiah Syed Mohd, 63) terkejut kerana belum pernah dia tunjukkan kemesraan begitu.
“Tak terdetik (di hati) yang itu mungkin petanda dia hendak tinggalkan kami selamanya,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Bota Kanan.
Siti Rokiah pula memaklumkan arwah anaknya seorang yang bertanggungjawab dan boleh diharap.
“Tamat sahaja sekolah menengah dahulu, dia membantu saya menjaga ayahnya (Baharuddin Mohd Nor) yang terlantar akibat strok sehingga meninggal dunia lima tahun lalu.
“Selepas itu, dia mula bekerja mengambil upah mengait sawit di kebun orang kampung untuk bantu menyara keluarga,” katanya memaklumkan jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Selat Bota Kanan.
Sementara itu, Nor Hayati Abdul Hamid berkata, adiknya, Mior Hairul Adzaha pernah menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan mencari pekerjaan lain untuk menyara isteri dan dua anak lelaki.
“Dia beritahu pagi itu (Khamis) adalah hari terakhir dia bekerja di kebun sawit berkenaan, jadi kami terkejut dan tak menyangka sama sekali ini yang berlaku. Kami reda dan berlapang diri kerana adik kami ‘syahid’ kerana lemas,” katanya.
Sementara itu, rakan sekerja buruh sawit itu, Abdullah Kamaruddin, 35, berkata, kejadian itu disedari tiga pegawai Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Perak Tengah yang secara kebetulan melalui kawasan berkenaan.
“Waktu itu, Ahmad Hazim dan Mior Hairul Adzaha baru sahaja dalam perjalanan ‘trip’ pertama untuk hantar buah sawit ke ‘rem’ berhampiran kampung, manakala saya menunggu dalam kebun sawit.
“Tidak lama selepas itu, tiba-tiba saya terdengar suara orang meminta tolong. Apabila saya berlari ke arah suara itu, saya dapati tiga pegawai PTD sedang berusaha bantu rakan saya di dalam tali air,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




