harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menerima sebanyak 310 bas yang dijangka menjadi perolehan terakhir bagi bas berenjin sebelum beralih kepada kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya menjelang tahun 2037.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata, pendekatan itu selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mencapai mobiliti hijau dan mengelektrikfikasikan pengangkutan awam.
“Bermula tahun hadapan kita akan cuba ke arah bas EV tetapi ada lagi pembelian 310 bas (enjin diesel) dan dimaklumkan ia adalah pembelian terakhir membabitkan bas jenis itu.
“Sebab tender perolehan sudah dikeluarkan dan kini dalam proses penilaian serta akan dianugerahkan pada Mac ini.
“Proses perolehan mengambil masa kira-kira setahun dan penghantaran dijangka dilakukan pada suku pertama tahun 2025 yang mana 60 peratus daripadanya membabitkan bas bersaiz kecil,” katanya pada sesi Pembentangan Prestasi 2023 dan Perancangan Masa Depan Prasarana di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan kerajaan akan membuat perolehan sebanyak 150 bas EV dan membina depot pengecas bagi menyokong perkhidmatan bas pengantara itu membabitkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3 dengan kos sebanyak RM600 juta.
Sebelum itu Prasarana dilaporkan mensasarkan untuk mengubah wajah bas milik mereka kepada sekurang-kurangnya 30 peratus bas jenis EV.
Dalam perkembangan lain, Prasarana bakal memasang sistem papan solar di 75 stesen, depoh dan hab pengangkutan awam milik mereka yang dijangka mampu menjana elektrik mencecah 13 megawatt (mw) menjelang 2027.
Setakat ini Prasarana mampu menjana 0.8 mw kuasa elektronik menerusi sistem papan solar yang dipasang di enam stesen Bus Rapid Transit (BRT) laluan Sunway dekat Bandar Sunway, Petaling Jaya di Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




