Projek tebatan banjir perlu disegerakan, jangan dipolitikkan – Agong

Projek tebatan banjir perlu disegerakan, jangan dipolitikkan – Agong

am@hmetro.com.my

Pekan: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya projek tebatan banjir yang dirangka di Pahang dipercepatkan.

Pada masa sama, baginda bertitah, jangan dipolitikkan berkaitan projek tebatan banjir sebaliknya memandang serius dan ia dapat diselesaikan segera.

“Saya harap jangka panjang kerajaan harus mempercepatkan projek-projek tebatan banjir yang dirangka oleh pihak berwajib di seluruh Pahang.

“Saya harap janganlah berpolitik dalam hal ini. Seelok-eloknya secara serius dan secara ‘urgent’ untuk membina tebatan-tebatan banjir di seluruh negeri Pahang,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Semai Bakti FELDA Chini 1, di sini, hari ini.

Baginda turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pada masa sama, baginda menasihati mangsa banjir sentiasa menjaga kebersihan di persekitaran PPS terutama tandas bagi mengelakkan sebarang penyakit.

“Saya cuma mengingatkan semasa kita berada di PPS ini, saya harap kita kena jaga kebersihan. Saya bimbang selepas banjir habis, kita dapat macam-macam penyakit.

“Wabak Covid-19 masih lagi berada di negara kita. Kita tidak mahu penyakit lain pula. Sebab itu ingatan supaya kebersihan di persekitaran di PPS, khususnya dalam bilik air.

“Jangan pandang ringan hal ini kerana ini akan menjadi punca jika tidak sama-sama bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Adhwa Haslan, 31, yang lemas selepas terjatuh ke dalam parit di ladang kelapa sawit di Sungai Bebar Utara, Pekan, Isnin lalu.

Baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga Muhammad Adhwa serta menyampaikan sumbangan RM10,000 daripada Kerajaan Pusat manakala kerajaan Pahang pula menyumbang RM5,000.

Sementara itu, mangsa banjir, Norhasimah Mustapa, 35, dari Felda Chini 1, berterima kasih di atas keberangkatan baginda menyantuni mereka.

“Saya gembira kerana Tuanku prihatin dan pada masa sama, dapat bertemu baginda. Rumah saya dilanda banjir pada 6 Januari lalu dan berharap dapat pulang ke rumah secepat mungkin.

“Setakat ini, air di dalam rumah sudah kering tetapi keadaan rumah dipenuhi dengan selut dan saya harap dapat membersihkannya segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top