bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM: Jawatankuasa penduduk Apartmen Teratai dekat Bukit Beruntung, mempunyai tiga pilihan dalam usaha menuntut kembali hak mereka yang diambil alih Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dalam isu perlantikan ejen pengurusan perumahan itu.
Peguam, Datuk Pretam Singh, berkata JMB yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MDHS melantik ejen pengurusan kerana beranggapan berlaku ketidakpatuhan prosedur dan melampaui bidang kuasa, boleh membuat aduan kepada pihak atasan seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) memohon supaya membatalkan keputusan COB berkenaan.
“Mereka juga boleh memfailkan permohonan kepada Tribunal Pengurusan Strata mengikut Jadual 4 Part 1, Akta Pengurusan Strata, Item 14.
“Jadual itu memperuntukkan bidang kuasa tribunal untuk mendengar tuntutan untuk satu perintah mengesahkan, meminda atau membatalkan keputusan COB,” katanya.
Beliau mengulas kekecewaan JMB Apartmen Teratai berhubung langkah COB MDHS yang langkah segera melantik syarikat ejen pengurusan bagi menguruskan perumahan berkenaan selepas setiausaha JMB itu meletak jawatan.
MDHS juga dilaporkan memberi alasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 yang sedang berkuat kuasa, menyebabkan mesyuarat agung penduduk tidak dapat diadakan bagi membuat pemilihan baharu.
Namun, langkah MDHS melantik ejen pengurusan berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa mengundang kecurigaan jawatankuasa penduduk yang sebelum ini berhasil mengumpul dana berjumlah RM700,000.
Pretam berkata, selain melaporkan kepada KSN dan Tribunal Pengurusan Strata, penduduk juga boleh membawa kes berkenaan ke mahkamah.
“Secara alternatifnya, JMB juga boleh memfailkan tindakan untuk permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap tindakan COB MDHS itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




