
Pemain Qatar Akram Afif ketika meraikan jaringan gol pada perlawanan pembukaan di antara Qatar menentang Lubnan pada Piala Asia 2023 di Stadium Lusail. Foto Bernama
TUAN rumah Qatar bermula cemerlang dalam misi mempertahankan kejuaraan mereka, selepas menundukkan Lubnan 3-0 pada perlawanan pertama Kumpulan A yang juga merupakan aksi pembukaan Piala Asia 2023 di Stadium Lusail di sini, malam ini.
Penyerang kelab, Al Sadd Akram Afif mencuri tumpuan dengan dua gol menarik, sementara pemenang Kasut Emas Piala Asia 2019 Almoez Ali, turut tidak terlepas daripada mencetak nama sebagai penjaring untuk memberikan permulaan sempurna buat skuad The Maroons.
Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Qatar yang menghuni ranking ke-58 dunia itu bermula garang, apabila Ali berjaya meletakkan bola di gawang, namun jaringannya pada minit kelima itu dibatalkan disebabkan ofsaid.
Namun, kebuntuan mencipta gerakan efektif menghantui skuad bimbingan Marquez Lopez selepas itu, sementara Lubnan mula menemui rentak dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan termasuk rembatan deras kapten Hassan Maatouk, yang diselamatkan penjaga gol Mostafa Matar pada minit ke-21.
