
Aksi regu lelaki negara yang juga pilihan ketiga kejohanan Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (kiri) ketika menentang regu Korea Selatan Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil, malam tadi. Foto Bernama
[DIKEMAS KINI] JURULATIH beregu lelaki negara, Tan Bin Shen, memberi skala markah 7/10 kepada anak buahnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik, berhubung persembahan keseluruhan mereka pada Terbuka Malaysia 2024.
Bin Shen mengakui Aaron-Wooi Yik masih lagi melakukan beberapa kesalahan kecil dalam corak permainan yang sedikit sebanyak mengundang padah kepada mereka sehingga disingkirkan di peringkat suku akhir oleh juara dunia Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 21-16, 18-21, 13-21, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai perlawanan semalam, jurulatih berusia 39 tahun percaya pasangan negara yang turun selaku pilihan ketiga itu mampu bermain lebih baik daripada apa dipamerkan sebelum ini namun kesilapan di set penentuan menjejaskan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir.
“Masa paling penting 11-10 (ketinggalan di set ketiga) itu sangat penting, kerana sebaik sahaja (mereka) lakukan kesilapan kecil, ia akan menyebabkan lawan semakin yakin,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, semalam.


