JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri ini semakin pulih apabila jumlah mangsa yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan.
Setakat pukul 8 pagi ini, hanya tinggal seramai 264 mangsa daripada 64 keluarga yang masih berada di tujuh PPS, berbanding 456 mangsa pada pukul 8 malam tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, Kota Tinggi merekodkan jumlah tertinggi masa dengan seramai 124 mangsa di dua PPS, diikuti Segamat dengan 63 orang di dua PPS.
“Kluang pula merekodkan seramai 38 mangsa di sebuah PPS, Batu Pahat 23 mangsa di sebuah PPS dan Mersing dengan 16 mangsa juga di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri turut memberitahu, banjir yang melanda negeri ini sejak awal bulan ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa setakat ini.
Jabatan Meteorologi tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan atau ribut petir di Johor sepanjang hari ini.
Namun, paras air Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat masih melebihi paras bahaya, manakala Empangan Labong di Mersing juga melepasi paras bahaya.
Tiga laluan masih ditutup, iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing dan dua laluan di Lingkaran Kahang Barat di Kluang. – UTUSAN




