am@hmetro.com.my
Dungun: Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mensasarkan 1,000 pokok ditanam setiap tahun dalam usaha menyahut saranan kerajaan di bawah ‘Kempen Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’.
Yang Dipertua MPD, Mohd Rashdan Muda berkata, selain tanaman pokok di sepanjang pantai, pihaknya juga akan memberi tumpuan penanaman di kawasan bandar serta di sepanjang jalan utama.
Menurutnya, melalui program tanaman pokok tahun ini, pihaknya mensasarkan setiap kakitangan menanam dua pokok.
“Setiap pokok yang baharu ditanam akan dijaga oleh kakitangan kami sehingga ia subur dan tumbuh membesar dengan sendirinya secara semula jadi.
“Jika hanya tanam dan biar, kita bimbang anak pokok yang ditanam itu berkemungkinan mati sekaligus mengagalkan usaha yang dilakukan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kerjasama Penanaman Pokok ‘One Tree One Staf’ bersama Golden Pharos Berhad di kawasan Hutan Rimba Bandar Bukit Bauk, dekat sini, semalam dengan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dr Mohd Zaki Hamzah.
Pada program itu, sebanyak 100 pokok kapur di tanam di sekitar kawasan hutan rimba terbabit.
Mohd Rashdan berkata, beliau berharap program penanaman pokok yang dilaksanakan itu memberi impak yang efektif kepada alam sekitar.
“Terdapat pelbagai spesies pokok hutan berada di kawasan hutan simpan Bukit Bauk ini dan di sini juga kita ada membina rumah kucing.
“Kita (MPD) memiliki tanah seluas kira-kira empat hektar di sini dan bercadang untuk jadikan kawasan ini sebagai pusat rekreasi dan pendidikan berhubung pokok hutan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




