Kuala Berang: Sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas diacu senapang angin dalam kejadian samun di sebuah taska di daerah Hulu Terengganu, hari ini.
Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Khatijah Ali, 58, kerugian hampir RM8,000 selepas barangan berharga termasuk duit yuran taska sebanyak RM4,000 dilarikan suspek yang memakai topi keledar penuh.
Khatijah berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama anak perempuan berusia 29 tahun dan cucu lelaki berusia dua tahun berada di dapur untuk menyediakan makanan manakala empat kanak-kanak di bawah jagaannya sedang tidur.
Katanya, dia dikejutkan dengan kehadiran lelaki yang tiba-tiba berada di sebelahnya.
“Lelaki terbabit mengacukan senapang angin ke dahi sambil meminta saya menyerahkan duit kepadanya.
“Dia kemudian mengambil beg tangan yang berada di kabinet dan saya cuba merampasnya sebelum berlaku pergelutan dan ketika itu, dia melepaskan tembakan.
“Bagaimanapun, saya melepaskan beg itu selepas lelaki terbabit mengacukan senapang ke arah cucu. Dia kemudian melarikan diri menggunakan pintu belakang dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, suspek dipercayai memasuki taska melalui pintu belakang dengan melarikan diri dengan menunggang Honda EX5.
“Usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya.




