Kerajaan terbuka kerjasama dengan ahli politik termasuk pembangkang

Kerajaan terbuka kerjasama dengan ahli politik termasuk pembangkang

Kuala Lumpur: Kerajaan bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang kerana fokus utama kini adalah memastikan perpaduan rakyat dan pembangunan negara, kata jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa 10 lagi Ahli Parlimen pembangkang akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menyifatkan perkara itu tidak mustahil.

“Ketersediaan sama ada mereka ingin terlibat dalam blok kerajaan sebagai Kerajaan Perpaduan ataupun seperti yang telah disebut sejak dari tahun lalu duduk berunding, berbincang untuk mendapatkan peruntukan tapi lebih daripada itu lihat bagaimana kita boleh bekerjasama untuk membangunkan negara.

“Jadi apa yang disebut oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang itu bagi saya tidak mustahil kerana mungkin di pihak mereka telah tunggu terlalu lama dan disajikan mungkin janji-janji yang tidak dapat direalisasikan. Jadi kita tunggu (pengumuman),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di Taman Sri Sentosa, Parlimen Lembah Pantai, di sini, semalam.

Syed Abu Hussin Hafiz dalam sidang medianya, baru-baru ini berkata, sokongan itu yang dijangka diisytihar sebelum pembukaan sesi Parlimen 26 Februari ini akan membabitkan wakil rakyat khususnya daripada Bersatu dari Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Melaka.

Menurutnya, masalah kewangan adalah faktor utama kerana setiap Ahli Parlimen sudah berjanji untuk membela nasib rakyat di kawasan masing-masing, namun selepas lebih setahun, tiada bantuan diberikan oleh parti.

Setakat ini, Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar ialah Syed Abu Hussin Hafiz, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu, mengulas kenyataan Anwar mengenai ahli politik atau pekerja kerajaan yang menerima beberapa pencen untuk memilih hanya satu pencen sebagai memenuhi tanggungjawab moral, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berpendapat, perkara itu adalah wajar dan beliau yakin semua yang terbabit bersedia untuk bersama dengan saranan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, sebarang pindaan perlu diteliti dan dibawa ke Parlimen terlebih dahulu memandangkan ia tertakluk kepada akta-akta tertentu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top