
Akhimullah Anuar antara penjaring gol ketika Malaysia menentang Oman dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman pada Ahad. Foto: International Hockey Federation (FIH)
SKUAD hoki lima sebelah (5s) lelaki negara terlepas peluang membawa pulang tiga mata apabila diikat Oman 3-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman pada Ahad.
Gol anak buah Wallace Tan dijelmakan menerusi gol padang, Syarman Mat Tee minit kesembilan sebelum kapten pasukan Mohamad Akhimullah Anuar Esook melebarkan jaringan empat minit kemudian.
Bagaimanapun Oman mengurangkan defisit menerusi gol padang Fahad Al Lawati minit ke-13, namun Mohamad Akhimullah melebarkan kedudukan skuad negara tiga minit kemudian.
Biarpun begitu Oman yang beraksi di laman sendiri kembali lebih bertenaga apabila meledak dua gol bermula dengan jaringan padang Aiman Madit minit ke-22 sebelum Khalid Al menambah jaringan peribadi kedua tiga minit selepas itu bagi mengikat kedudukan 3-3.



