nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin didakwa ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta.
Bagaimanapun, tertuduh, Che Abdul Daim Zainuddin, 86, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah tidak mematuhi terma notis bertarikh 13 Disember 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta itu membabitkan aset antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, 38 syarikat dan 25 hartanah serta tanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah.
Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Daim diwakili peguam, M Puravelan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




