Presiden Perancis mahu vaksinasi COVID-19 dipercepatkan

Presiden Perancis mahu vaksinasi COVID-19 dipercepatkan

VALENCIENNES: Presiden Perancis, Emmanual Macron, hari ini menegaskan program vaksinasi di negara itu perlu dilakukan dengan lebih cekap.

“Tidak kira pagi, tengah hari atau petang, kita perlu mempercepatkan pelaksanaan program suntikan vaksin yang kini dikatakan terlalu perlahan.

“Kami akan mengubah kelajuannya mulai April, tiada lagi istilah cuti hujung minggu atau cuti umum cuti ketika program vaksinasi dijalankan,” katanya ketika melawat pusat inokulasi di bandar utara Valenciennes.

Berbanding negara Barat yang lain, Perancis dilihat berjaya menangani gelombang ketiga penularan COVID-19, tetapi agak ketinggalan dari segi jumlah individu yang sudah disuntik vaksin.

Perancis cuma mempunyai bekalan sekitar 8.8 juta dos vaksin berbanding 30 juta dos di Britain dan hampir 11 juta dos bagi Jerman.

Walaupun proses inokulasi dipercepatkan sejak beberapa minggu lalu, ia gagal mengawal peningkatan kes baharu sehingga memaksa kerajaan melaksanakan perintah berkurung separa ke atas satu pertiga penduduk pada hujung minggu lalu.

Semalam, Menteri Kesihatan, Olivier Veran, mengumumkan pihak tentera akan membangunkan 35 pusat vaksinasi secara besar-besaran.

Sehingga kini, Perancis masih bergantung kepada dewan komuniti, hospital dan farmasi bagi program vaksinasi, sementara negara seperti Amerika Syarikat (AS), Britain dan beberapa negara lain menggunakan stadium bagi tujuan sama.

Perancis yang dikenali sebagai antara negara dunia dengan undang-undang buruh yang sangat anjal, turut mengambil pendekatan menjalankan program vaksinasi pada hujung minggu.

Kerajaan turut menyuarakan kebimbangan mengenai penghantaran dan kekurangan vaksin khususnya AstraZeneca, yang menyekat usaha mereka bagi mengekang penularan pandemik berkenaan.

Macron sejak beberapa minggu lalu, sedaya upaya mengelak menguatkuasakan perintah berkurung buat kali ketiga, berikutan tinjauan semasa menunjukkan rakyat keletihan kerana terpaksa melalui tempoh berkurung di rumah.

Bagaimanapun, disebabkan beberapa hospital di kawasan itu berdepan kesukaran mengatasi lambakan kes baharu COVID-19, kerajaan minggu lalu mengumumkan perintah berkurung selama sebulan di Paris dan beberapa wilayah lain.

Perniagaan tidak perlu di wilayah terjejas diarahkan tutup dan perhimpunan sosial turut dilarang.

Bagaimanapun, sekolah masih dibuka, sementara kegiatan senaman di tempat awam dibenarkan setakat 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top